بِسْمِ اللهِ الرَّحْمٰنِ الرَّحِيْمِ
Hari ni genap seminggu umurku mencecah 40 tahun dan inilah langkah pertama aku…
“Jom kita joging petang ni”… ajak² ayam bos ku di pejabat sebelum rehat untuk Solat Jumaat hari ini.
Waktu solat rehat solat Jumaat aku merempit balik ke rumah sekejap untuk ambil baju, seluar track dan kasut Asics Gel Aquation hitam ku yang berusia lebih 3 tahun umurnya tapi sangat jarang digunakan sebelum seperti kebiasaan ambil anak di transit untuk sama-sama solat Jumaat di Masjid Al-Ihsan Desa Vista.
Petang sebelum pulang. “Haji, jom jogging, saya dah bawa baju & kasut”, aku mengajak bosku.
Ternyata, nampaknya bosku tak ambil pun pakaian sukannya semasa pulang solat Jumaat tengah hari tadi.
Alamak.. walaupun begitu, aku gagahkan juga untuk memulakan langkah berjoging yang selama ini hanya angan² tahi ayamku sahaja.
Berbekalkan Kasut Asics yang berusia 3 tahun, baju Yob, track buttom Puma dan Smartwatch ke-3 ku (Samsung S3 Frontier) aku memulakan langkah pertama. Sebelum ini dah dua kali beli smartwatch. Pertama pernah digunakan sekali dua bersama kasut yang baharu dibeli 3 tahun lepas sebelum tercicir entah di mana. Jam kedua tercicir semasa menaiki motosikal. Dua² jam ini yang kononnya dibeli untuk memberi semangat untuk gaya hidup sihat, namun tidak berjaya.
Dengan berat badan semasa mencecah hampir 84kg, aku memulakan langkah daripada parkir terbuka tepi tasik Putrajaya di belakang pejabatku berlari di tepi tasik dan ulang alik menyeberangi Jambatan Seri Gemilang dengan jumlah jarak hanya 2.61km dan pace 9:25/km sahaja dengan masa kira² 25 minit.. itu pun dah rasa mengah tak terkira..
Itu lah secara rasminya langkah pertamaku sebelum betul-betul aktif berlari..